Jumaat, 4 November 2011

Ekspresiku [Seloka Pak Kaduk]

Salam budiman buat pembaca semua. Kali ni Ek nak bertanya kepada anda. Apa yang anda tahu tentang seloka? Dah pasti anda pernah dengar lagu raya, Seloka Hari Raya, kan? Untuk pengetahuan semua, seloka merupakan sebuah puisi tradisional. Ia berbentuk bebas dan tidak terikat dengan rangkap mahupun baris. Seloka ini sebenarnya merupakan kritikan, sindiran secara serius mahupun jenaka.

Kamus Dewan edisi keempat menyatakan seloka adalah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Perkataan seloka diambil daripada bahasa Sanskrit iaitu 'Sloka'.
Ek pernah terlibat dalam sebuah persembahan yang menyelitkan seloka ini. Ek membuat persembahan tersebut semasa mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2007/2008. Pengalaman mempersembahkan seloka ini amat menarik kerana kami menggunakan Seloka Pak Kaduk yang penuh sindiran. Walaupun tidak memenangi sebarang tempat semasa pertandingan "Malam Citra Puisi" itu, Ek berpuas hati dengan komitmen rakan-rakan pelatih yang terlibat. Bagi Ek, murid-murid di sekolah perlu didedahkan dengan lebih meluas tentang puisi tradisional seperti seloka ini agar mereka menghargai dan memelihara seni warisan bangsa ini.




Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.



Maksud Seloka Pak Kaduk

Pak Kaduk bernasib malang kerana ayam sabungnya menang tetapi kampungnya tergadai kerana sebelum pertandingan dia bersetuju menukarkan ayamnya dengan ayam raja.
Pak Kaduk kelaparan kerana mencurah nasi yang ada. Dia membuat keputusan yang bodoh iaitu dengan mudik ketika air sedang surut dan menghilir ketika air sedang pasang. Dia hampir mati kerana tidak makan kerana membunuh isterinya (kerana sikap panas baran)
Malang sekali lagi menimpa Pak Kaduk apabila sedang belayar kematian angin dan apabila hendak berlabuh, angin mula bertiup.
Akhirnya dia merempat di tempat orang walaupun mempunyai rumah.

Tiada ulasan: