Khamis, 22 Disember 2011

Ekspresiku [Kongsi Rasa]

Assalamualaikum.
sudah lama Ek tidak mengemaskini entry dalam blog ini. Bukan sibuk, tapi kering idea.Tak tahu apa yang mahu ditulis. Namun, untuk kali ini Ek ingin berkongsi rasa sahaja.

"Rasa resah gelisah, memikirkan tindakan sesetengah kita. Atas dasar toleransi, menggadaikan akidah. Takutnya. Sedangkan mengucapkan pun xboleh apatah lagi meraikan bersama. Mohon dijauhkan kita daripada bala bencana. Kealpaan kita akan membawa padah. Gerun. Lindungilah kami ya Allah. :( "

Jumaat, 4 November 2011

Ekspresiku [Bila Bunga Berkembang]


bila bunga berkembang
tanda suburnya tanah itu

bila bunga berkembang
dipetik menjadi hiasan kalbu

bila bunga berkembang
mekarlah romantika hati

bila bunga berkembang
dunia berseri nian indah


bila bunga berkembang
kumbang hinggap mencuba nasib

bila bunga berkembang
bergelodak rasa berwarna ceria

Ekspresiku [Seloka Pak Kaduk]

Salam budiman buat pembaca semua. Kali ni Ek nak bertanya kepada anda. Apa yang anda tahu tentang seloka? Dah pasti anda pernah dengar lagu raya, Seloka Hari Raya, kan? Untuk pengetahuan semua, seloka merupakan sebuah puisi tradisional. Ia berbentuk bebas dan tidak terikat dengan rangkap mahupun baris. Seloka ini sebenarnya merupakan kritikan, sindiran secara serius mahupun jenaka.

Kamus Dewan edisi keempat menyatakan seloka adalah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Perkataan seloka diambil daripada bahasa Sanskrit iaitu 'Sloka'.
Ek pernah terlibat dalam sebuah persembahan yang menyelitkan seloka ini. Ek membuat persembahan tersebut semasa mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2007/2008. Pengalaman mempersembahkan seloka ini amat menarik kerana kami menggunakan Seloka Pak Kaduk yang penuh sindiran. Walaupun tidak memenangi sebarang tempat semasa pertandingan "Malam Citra Puisi" itu, Ek berpuas hati dengan komitmen rakan-rakan pelatih yang terlibat. Bagi Ek, murid-murid di sekolah perlu didedahkan dengan lebih meluas tentang puisi tradisional seperti seloka ini agar mereka menghargai dan memelihara seni warisan bangsa ini.




Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.



Maksud Seloka Pak Kaduk

Pak Kaduk bernasib malang kerana ayam sabungnya menang tetapi kampungnya tergadai kerana sebelum pertandingan dia bersetuju menukarkan ayamnya dengan ayam raja.
Pak Kaduk kelaparan kerana mencurah nasi yang ada. Dia membuat keputusan yang bodoh iaitu dengan mudik ketika air sedang surut dan menghilir ketika air sedang pasang. Dia hampir mati kerana tidak makan kerana membunuh isterinya (kerana sikap panas baran)
Malang sekali lagi menimpa Pak Kaduk apabila sedang belayar kematian angin dan apabila hendak berlabuh, angin mula bertiup.
Akhirnya dia merempat di tempat orang walaupun mempunyai rumah.

Ekspresiku [Fakta Kucing]



Kucing merupakan mamalia karnivor kecil dari subspesis Felis silvestris catus. Ia adalah keturunan kucing liar Afrika, Felis silvestris lybica dan mungkin dijinakkan 3,500 tahun dahulu di zaman Mesir purba, di mana ia digunakan untuk menjaga simpanan bijirin daripada tikus dan roden yang lain. Hari ini kucing merupakan salah satu daripada haiwan belaan rumah yang paling terkenal di dunia. Pernyataan di bawah ini merupakan antara fakta menarik tentang sicomel ini.

1. Kucing mempunyai 30 batang gigi

2. Kucing tidur 16 jam sehari (lagi lama daripada tuannya)


3. Haiwan ini tidak menyukai bau minyak wangi (jangan sembur minyak wangi depan kucing ye)

4. Ia menyukai benda berwarna hijau seperti rumput

5. Kucing boleh menghasilkan 100 bunyi vokal (boleh masuk vokal bukan sekadar rupa ni)

6. Corak pada hidung kucing adalah unik dan berbeza-beza (manusia pula ada corak "hidung belang")

7. Kucing akan selamat walaupun terjatuh dari ketinggian 30 kaki

8. Kebanyakan kucing tiada bulu mata (dan juga bulu pelepah)

9. Semua kucing berjalan secara berjinjit


Ekspresiku [Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis]

gambar ihsan :-http://kami-anak-malaysia.blogspot.com

Sebut sahaja negeri Perlis, sudah tentu para pembaca akan tergambar tentang Padang Besar, Gua Kelam dan Kuala Perlis. Kuala Perlis merupakan nadi penghubung antara negeri ini dengan Langkawi. Jeti Kuala Perlis sentiasa dikunjungi pelancong domestik mahupun luar negara untuk ke Pulau Bebas Cukai itu. Kini, Kuala Perlis mempunyai satu lagi mercu tanda yang amat menarik iaitu Masjid Kuala Perlis. Ia telah dibuka secara rasminya pada bulan Oktober 2011. Istimewanya, masjid ini dibina seolah-olah terapung.

Masjid ini adalah hasil ilham Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Jamalullail. Masjid ini dinamakan Masjid al-Hussain. Antara ciri utama masjid indah ini adalah kubah yang berwarna kuning beserta corak berwarna biru yang merupakan warna rasmi bagi negeri ini. Selain itu, ia memiliki sebuah menara puncak berkembar yang simbolik kepada asal-usul kejadian manusia. Masjid terapung ini boleh memuatkan 1000 jemaah pada satu-satu masa. Kos pembinaannya pula dianggarkan antara RM 12juta.

Keunikan masjid ini adalah terdapat lampu berwarna pada menara yang dilihat pada waktu malam bagi menandakan masuknya waktu solat. Selain itu, terdapat tulisan kaligrafi dalam ukiran dinding. Para pengukirnya didatangkan khas daripada negara Timur Tengah iaitu Uzbekistan.

Anda boleh mengunjungi masjid ini pada bila-bila masa sahaja. Pastinya kunjungan anda akan lebih bermakna dengan menyaksikan keindahan masjid ini dan panorama sekitarnya.


Ekspresiku [Wajah Baharu]

Salam semua. Sudah lama kan Ek (dulu EJS) tak kemaskini blog ni. Ada beberapa perubahan dilakukan terhadap blog ini agar kelihatan segar dan menarik. Blog ini kini tidak hanya berfokus tentang puisi moden sahaja malah ia mencakupi pelbagai skop dan bidang. Hal ini bagi memastikan blog ini lebih segar, menarik dan berinformasi. Penggunaan tagline "luahan rasa jiwa" menggambarkan reaksi atau pandangan Ek berkaitan sesuatu hal yang dibincangkan. Insya-Allah, banyak perkara yang saya akan kongsikan bersama anda penggemar setia. Jadi, pastikan anda sentiasa mengikuti blog ini dari semasa ke semasa. Selamat membaca !

Khamis, 20 Oktober 2011

NANTIKAN

EJS akan kembali bersiaran dengan entry baharu sedikit masa lagi... =)